Followers

Showing posts with label komplikasi. Show all posts
Showing posts with label komplikasi. Show all posts

Wednesday, 13 June 2012

Part 3: Diabetis dan Kehamilan. Apakah komplikasinya?




Salam semua.OK ini adalah bahagian terakhir entri Diabetis dan Kehamilan.Memang panjang. Ada orang kata,”Doc, bolih buat buku nanti”. Rupa-rupa menulis dalam blog lagi ‘seksa’ berbanding dengan menulis dalam newspaper setiap minggu. Oh ya,kalau anda membaca BERITA MINGGU,terdapat satu kolum untuk soal jawab untuk saya menjawab soalan-soalan yang dianjurkan. Selagi ada yang membaca saya akan terus menaip. Kalau anda semua mempunyai blog,FB atau kawan-kawan minta sebarkan blog ini kalau ianya bolih membantu orang lain.

Mengapa anda perlu serius dalam mengawal diabetis anda?

Seperti mana penyakit-penyakit lain,diabetis juga mempunyai komplikasi-komplokasi terhadap kandungan anda.

Ibu-ibu yang diabetis mempunyai risiko-risiko berikut:

·         Mudah mendapat jangkitan pundi kencing
·         Kerap mendapat jangkitan kulat candidiasis pada bahagian vagina
·         Meningkat risiko untuk mendapat darah tinggi/pre-eklampsia
·         Gagal bersalin normal kerana anak makrosomia
·         Meningkat risiko caesarean dan penggunaan vakum atau forsep
·         Meningkat risiko retinopathy,nephropathy,penyakit jantung.

Bayi-bayi yang ibu mereka diabetis semasa hamil pula mempunyai risiko-risiko berikut:

·         Meningkat keguguran
·         Kecacatan kongenital
·         Bersalin pra-matang
·         Polyhydramnios
·         Macrosomia
·         Terbantut pertumbuhan(IUGR)
·         Meninggal dalam perut secara tiba-tiba.

Bayi-bayi yang baru dilahirkan juga mempunyai risiko-risiko berikut:

·         Polycythaemia-sel-sel darah merah berlebihan.
·         Jaundis
·         Hypoglycemia-kurang gula
·         Hypocalcemia-kurang kalsium
·         Hypomagnesaemia kurang Mg
·         Hypothermia-sukar mengawal suhu badan
·         Cardiomegaly-jantung besar
·         Kecederaan semasa bersalin-tersangkut bahu,patah tulang,Erb’s palsy,asphyxia
·         Sukar pernafasan

Disini anda lihat dalam semua kategori kehamilan bayi anda akan menghadapi risiko-risiko tersebut.
TQ.

Monday, 11 June 2012

Part 1: Diabetis dan Kehamilan



Pengenalan
Salah satu punca utama kemasukan ke hospital adalah diabetis semasa hamil. Sebab-sebab lain adalah perdarahan antepartum disebabkan oleh plasenta praevia,kelahiran pra-matang,air ketuban pecah pra-matang dan darah tinggi. Saya telah pun bincangkan tentang perkara-perkara  tersebut dalam entri-entri yang lalu kecuali darah tinggi.
Saya percaya anda semua pernah melalui ujian diabetis semasa anda hamil dan tentu sekali anda tidak menyukai air gula yang pekat itu. Tentu anda berfikir kenapa anda perlu lalui semua ini semasa mengandung.
Apakah yang menyebabkan wanita hamil  berpontensi untuk mendapat diabetis semasa hamil?
Metabolisma glukosa semasa hamil amat berbeza. Ini amat penting bagi menentukan janin mendapat cukup tenaga dalam bentuk glukosa bagi menjaga organ-organ vital seperti otak semasa pembesaran dalam rahim. Permintaan insulin semasa hamil meningkat sepanjang kehamilan berlaku dan maksimum diakhir kehamilan. Hormon-hormon yang dikenali sebagai hormon diabetogenik( human placental lactogen,cortisol,glucagon,oestrogen dan progesterone) dikeluarkan olih plasenta. Hormon-hormon tersebut akan menyebabkan simpanan glikogen dalam hati menjalani proses glikogenlisis, Proses ini akan memecahkan simpanan glikogen kepada molekul-molekul glukosa untuk kegunaan sel-sel dan organ-organ. Ibu hamil yang normal akan dapat mengimbangi pengeluaran insulin dalam badan mereka untuk ‘melawan’ kesan hormon diabetogenik ini. Ibu-ibu ini akan dapat mengawal paras gula mereka pada 4.0 hingga 4.5 mmol/L. Ibu-ibu yang diabetis akan mengalami kesukaran mengawal paras glukosa mereka. Ibu-ibu yang diabetic ini bukannya mereka tidak dapat menghasilkan insulin yang cukup tetapi disebabkan masalah ‘insulin resistance’. Keadaan ini dimana sel-sel,organ-organ dan otot-otot tidak dapat menggunakan insulin sebaiknya walaupun paras insulin itu normal.
Semasa hamil,diabetis bolih terdapat dalam 2 keadaan.
1.       Diabetis Sedia-Ada/Established diabetes(ED)
2.       Diabetis Kehamilan/Gestational Diabetes
1.Diabetis Sedia-Ada(ED)
Pesakit jenis ini memang telah di ketahui diabetis sebelum hamil lagi. ED hanya melibatkan sebahagian kecil wanita hamil sahaja(2%) . Terdapat 2 jenis iaitu Diabetes Type 1 dan 2. Jika diabetis mereka tidak dapat dikawal dengan baik,terdapat kenaikkan pada kadar mortaliti dan morbiditi neonatal.

Apakah kesan-kesan diabetis terhadap kehamilan?
Keadaan ibu berada dalam hiperglisemia(glukosa berlebihan) juga menyebabkan bayi mereka berada dalam keadaan hiperglisemia. Pada bayi,sel-sel pancreas mereka akan bekerja kuat untuk menghasilkan lebih banyak insulin bagi mengimbangi paras glukosa yang tinggi dalam darah mereka. Insulin pada bayi bertindak sebagai ‘growth promoter’. Jadi kesannya adalah makrosomia(anak besar),’organomegaly’(organ-organ dalam badan mereka turut besar) dan peningkatan ‘erythropoiesis’(pertambahan sel-sel darah merah). Sepertimana orang dewasa diabetis,bayi-bayi juga akan mengalami ‘polyuria’(kencing banyak kali) dan ini menyebabkan ‘polyhydramnios’(air ketuban berlebihan/kembar air).
Semasa bayi dilahirkan,olih kerana paras insulin dalam darah mereka berlebihan, tambahan pula sekatan bekalan glukosa secara tiba-tiba dari ibu,maka bayi akan mengalami ‘hypoglycemia’(kekurangan gula dalam darah).’Hypoglycemia’ jika tidak dirawat bolih menyebabkan kecacatan otak bayi.
Diabetis juga menyebabkan kekurangan ‘pulmonary surfactant’. ‘Surfactant ‘ penting untuk kematangan paru-paru bayi, Kerana itu sindrom respiratory distress lebih banyak berlaku pada bayi-bayi yang dilahirkan olih ibu-ibu diabetis.
Apakah kesan-kesan kehamilan terhadap diabetis?
Kesan-kesan kehamilan terhadap diabetis hanya penting bagi ibu-ibu yang mengalami diabetis kronik dan mempunyai komplikasi-komplikasi lain seperti buah pinggang,jantung, mata dll. Ibu-ibu yang mendapat diabetis hanya tika hamil ,tidak mempunyai kesan-kesan serius kepada diabetis mereka. Diabetis mereka adalah bersifat sementara semasa hamil.
·         Ketoasidosis
Amat jarang berlaku dan dikaitkan dengan muntah-muntah,jangkitan kuman,penggunaan tokolisis dan steroid.
·         Retinopathy
Mereka yang mengalami diabetis yang kronik,akan mempunyai 2 kali ganda risiko mendapat dan perkembangan retinopathy.Retinopathy bolih menyebabkan buta. Ini disebabkan olih pertumbuhan saluran-saluran darah baru dalam retina mata.
·         Nephropathy
Kegagalan buahpinggang dan kencing berprotin akan meningkat semasa hamil.Ianya besifat sementara. Ia akan meningkatkan risiko pre-eklampsia/darah tinggi pada ibu dan masalah pertumbuhan dan perkembangan bayi.
·         Ischaemic heart disease/Serangan sakit jantung.
Ibu-ibu yang pernah mengalami serangan sakit jantung mempunyai mortaliti 50% kalau hamil.
Apakah yang anda perlu lakukan sekiranya anda adalah pesakit diabetis dan ingin hamil?
Rawatannya bermula dari sebelum anda mengandung lagi bagi mengurangkan kesan-kesan diabetis terhadap kehamilan.
Kaunseling sebelum hamil
1.       Kawalan optimal diabetis
Objektifnya untuk mendapatkan paras glukos dalam darah se’ normal’ yang bolih.
2.       Penilaian kesan-kesan diabetis terhadap pesakit
Darah tinggi,retinopathy,nephropathy.neuropathy dan penyakit jantung.
3.       Pendidikan
Menerangkan kesan-kesan gula berlebihan keatas bayi dan perlunya kawalan paras glukos yang ketat dan berjumpa pakar segera sekiranya hamil. Beberapa ubat perlu diberhentikan jika hamil. Contohnya: ACE inhibitors.Pesakit Diabetes Type 2 perlu menukar tablet kepada suntikan insulin.
4.       Kesihatan
Berhenti merokok,mengurangkan berat badan( objektif mendapat BMI normal)
5.       Mengambil Asid Folik bagi mengurangkan risiko kecacatan pada saraf tunjang.
6.       Status Rubella di sahkan dengan ujian darah. Immunisasi jika tiada antibody.
7.       Kontraseptif yang berkesan sebelum paras glukosa berada pada paras normal.

Part 2: Komplikasi diabetis semasa kehamilan dan Diabetis Kehamilan/Gestational diabetis

Thursday, 7 June 2012

Rubella dan Kehamilan.Apakah kesan kepada bayi anda?




Salam semua,
Semasa hamil anda tidak terlepas dari dijangkiti pelbagai jenis jangkitan berjangkit. Tidak semua jangkitan berjangkit ini mempunyai simtom-simtom yang jelas. Banyak jangkitan virus umpamanya sukar di ketahui kerana tiada simtom tetapi memerlukan pemeriksaan secara ‘indirect’ untuk mengetahui keujudan virus dalam badan kita. Olih kerana itu semasa pemeriksaan antenatal,terdapat beberapa ujian darah dilakukan untuk mengetahui anda dijangkiti kuman atau virus tersebut. Tentu anda bertanya kenapa tidak dilakukansaja  kesemua ujian-ujian darah untuk kita mengetahui kuman atau virus dalam kita. Mustahil kita dapat lakukan untuk semua wanita yang hamil kerana tidak praktikal dan tambahan pula banyak jangkitan virus tidak mempunyai apa-apa rawatan yang khusus.

Banyak penyakit berjangkit yang bolih dihidapi olih wanita yang hamil seperti

·         Rubella(German measles)
·         Cytomegalovirus
·         Varicella(Chicken pox)
·         Parvovirus 19
·         Toxoplasmosis
·         Herpes Simplex
·         Hepatitis B
·         Group streptococcus(GBS)
·         Syphilis
·         Listeria
·         Malaria
·         HIV
Saya percaya anda tentu pernah terbaca dan terdengar beberapa contoh jangkitan berjangkit yang bolih hadir semasa hamil. Ada beberapa penyakit berjangkit diatas yang kami buat ujian secara rutin dalam pemeriksaan antenatal. Contohnya Rubella,Hepatitis B,Syphilis dan HIV. Pentingnya jangkitan penyakit diatas adalah ianya memberi implikasi tidakbaik  pada bayi anda.

Rubella

Rubella adalah virus RNA yang berjangkit melalui titisan hingus dari manusia ke manusia. Rubella mudah berjangkit pada 7 hari sebelum dan selepas kehadiran ruam pada badan. Masa inkubasinya adalah 14 hingga 21 hari.

Apakah simtom-simtom Rubella?


Tidak semua orang yang dijangkiti Rubella mempunyai simtom dan dianggarkan 50-75% mempunyai simtom. Diantara simtom-simtomnya adalah demam,ruam ,sakit sendi dan bengkak kelenjar limfatik.
Diagnosisnya memerlukan ujian darah serologi berpasangan. Ini bermakna ujian pertama dilakukan semasa penyakit ini akut/mempunyai ruam dan simtom-simtom lain dan ujian keduanya 3 hingga 4 minggu selepas itu. Anda dijangkiti Rubella sekiranya antibodi IgM ada dalam darah atau kenaikan 4 kali ganda IgG.(Tidak mengapa jika anda tidak faham ini sekarang)

Apakah implikasi kepada bayi anda?

Kecacatan kongenital berkait dengan Rubella:
·         Pekak sensorineural. Pekak disebabkan olih kerosakan pada saraf pendengaran.
·         Kecacatan jantung seperti VSD dan PDA
·         Mata-Katarak kongenital,mikrooftalmia dan glikoma
·         Microcephaly dan mental retardation

Cara Pencegahan

Pelalian semasa kanak dengan vaksin MMR. Program pelalian Rubella semasa di sekolah telah lama dijalankan olih kerajaan. Adalah disyorkan supaya anda buat ujian darah untuk mengetahui status  immuniti anda terhadap Rubella. Jika tidak mempunyai immuniti, anda perlu ambil pelalian Rubella selepas bersalin. Suntikan Rubella tidak bolih diambil semasa hamil dan setelah suntikan anda perlu tunggu selama 12 minggu sebelum cuba mengandung.

Risiko kepada bayi anda dari jangkitan Rubella(jika ibu menghidapai Rubella) adalah mengikut usia bayi anda.

1.       Kandungan < 13 minggu,risiko transmisi kepada bayi adalah 80% dan hampir semua bayi dijangkiti akan mengalami kecacatan kongenital. Anda dinasihatkan gugurkan kandungan ini.
2.       Kandungan 13 hingga 16 minggu,risiko transmisi kepada bayi adalah 50% dan 35% yang dijangkiti akan mengalami kecacatan kongenital. Kebanyakkannya adalah kecacatan pendengaran.
3.       Kandungan >16 minggu,mempunyai risiko transmisi 25% dan amat jarang bayi mengalami kecacatan kongenital. Kandungan ini bolih diteruskan.
Kesimpulannya pasangan yang akan ke pelamin periksalah immuniti anda terhadap Rubella. Kalau anda tidak immune,ambillah suntikan pelalian Rubella dari mana-ana klinik. Bagi ibu yang disyaki menghidapi Rubella segeralah berjumpa dengan doctor.

Nota: Saya akan buatkan entri-entri penyakit berjangkit yang lain dimasa-masa akan datang