Salam semua,
Satu perkara yang biasa ditanya oleh ibu-ibu hamil adalah tentang masalah masalah 'remeh' semasa mengandong. Maaf jika saya katakan ianya masalah 'remeh' kerana bagi saya ini merupakan akibat dari adaptasi keseluruhan anggota badan ibu semasa hamil. Saya faham bagi ibu-ibu perkara ini tidak dianggap 'remeh' kerana ianya menyusahkan,menyakitkan dan mengganggu kehidupan mereka seharian. Bagi kami doktor, kadangkala bila kami katakan ianya perkara biasa , kami tidak pasti adakah jawapan sebegini sudah memadai untuk si ibu faham atau adakah mereka beranggapan jawapan ini yang paling mudah dari doktor. -semuanya sebab mengandong!
Apakah perubahan-perubahan yang berlaku kepada sistem-sistem dalam badan kita bila mengandong?
Segala perubahan-perubahan dalam badan berlaku seawal persenyawaan berlaku dan berakhir selepas 6 minggu selepas bersalin. Jadi anda dapat bayangkan bagaimana lamanya anda terpaksa menanggong akibat perubahan semulajadi ini. Perubahan ini perlu untuk mempastikan si ibu boleh melalui kehamilan dan penyusuan dan juga kelahiran dengan selamat dan mempastikan pertumbuhan dan perkembangan bayi berada pada tahap optimum. Kesemuanya berlaku akibat dari hormon-hormon estrogen dan progesteron yang mendadak naik semasa hamil.
Sistem Reproduktif
Perubahan besar utama berlaku pada rahim yang mana otot-ototnya yang dipanggil myometrium akan mengalami 'hypertropy dan hyperplasia'.Sel-sel myometrium membesar dan bertambah sebagai persediaan untuk menampong bayi yang akan membesar didalam rahim dan juga persediaan untuk kontraksi semasa bersalin nanti. Disamping itu lapisan dinding akan menebal dan mempunyai saringan darah yang banyak. Otot -otot pada vagina juga mengalami proses yang sama supaya ianya lebih elastik untuk memudahkan vagina mengembang semasa kelahiran nanti. Selain dari itu, terdapat ligamen-ligamen yang berfungsi sebagai penyokong pada rahim turut membengkak dan tegang. Segala perubahan ini menyebabkan ibu-ibu mengalami sakit dibahagian bawah perut dan sekali sekala akan menjadi lebih sakit sama ada di kiri atau di kanan perut. Sakit akan lebih ketara bilamana kandongan menjadi semakin besar atau terlalu banyak berjalan/bekerja.
Sistem kardiovaskular
Beban pada jantong akan bertambah kerana kehamilan dan menyebabkan saiz jantong menjadi lebih besar. Amaun darah dalam badan juga meningkat sehingga ke 40 % dan menyebabkan jantong terpaksa pum darah lebih kuat lagi. Saluran-saluran darah vena atau arteri akan mengembang kerana hormon progesteron dan ini menyebabkan tekanan darah rendah sedikit. Ini juga menyebabkan seseorang itu mudah pitam kalau berdiri lama atau dudud mengadap komputer terlalu lama.Disebabkan urat-urat darah ini mengembang, darah akan turun ke kaki dan menyebabkan kita mudah pitam.
Sistem Pernafasan
Penggunaan oksigen juga meningkat semasa mengandong. Ini akan meningkatkan kadar pernafasan naik bagi meningkat jumlah oksigen dalam darah disamping membuang sisa-sisa karbon dioksida. Kadar pertukaran gas-gas menjadi lebih efisien. Kesan dari itu kita dapati pernafasan kita lebih laju dan pendek . Berserta dengan jantong yang terlebih kerja menyebabkan kita cepat mengah dan sukar untuk berjalan terutama bila mendaki tangga.
Sistem ginjal dan urinari
Aliran darah ke ginjal meningkat sehingga 80% dan kadar pernapisan glomerular juga meningkat sehingga 45% semasa mengandong, Ini menyebabkan si ibu kerap terkencing kerana peningkatan perkumukan pada ginjal, Kadangkala saluran kencing boleh tersepit terutama bila kepala anak telah masuk ke dalam pelvis. Ini menyebabkan sukar untuk kencing.
Sistem Usus
Lebih dari 70% wanita hamil akan mengalami loya dan muntah pada peringkat awal kandongan dan biasa akan berakhir pada 16 minggu.Selepas itu selera makan akan bertambah dan mereka sentiasa dahaga, Pedih ulu hati disebabkan oleh asid yang berlebihan didalam perut dan asid tadi akan 'reflux' mengikut esofagus. Transit makanan,air dan asid amat perlahan semasa mengandong dan ini menyebabkan penyerapan air kedalam darah cepat dan asid berkumpul dalam perut. Kesanya adalah najis keras dan sukar untuk buang air besar.
Untuk pedih ulu hati saya cadangkan makan lebih kerap atau ambil "ubat putih" contohnya gaviscon bagi mengurangkan pedih di ulu hati ini. Kadangkala saya mengunakan juga ubat khusus bagi mengurangkan asid dalam perut seperti zantac.
Sistem sendi dan tulang
Masalah sendi dan tulang adalah yang paling ketara. Disebabkan oleh hormon estrogen,progesteron serta relaxin, ligamen-ligamen yang menyokong tulang belakang dan pelvis menjadi lembut.Ianya bertujuan memudahkan proses kelahiran nanti. Contohnya rongga pelvis akan memberi sedikit ruang untuk kepala bayi lalu bila bersalin nanti. Begitu juga tulang tundun dan tulang dipunggung. Akibat dari perubahan ini tidak hairanlah si ibu mengalami sakit tulang belakang,pinggul dan tulang tundun terutama bila dekat hendak bersalin.
Perubahan pada Kulit
Pigmentasi berlebihan berlaku pada areola iaitu kawasan di sekeliling puting,garisan tengah perut,celah kelangkang dan dibawah ketiak. Ini berpunca dari hormon MSH dari kelenjar pituitari, dan pigmentasi ini selalunya kekal.Chloasma atau topeng hamil adalah bila mana kulit muka menjadi kemerahan atau gelap sedikit dan lebih ketara kalau terkena matahari. Striae gravidarum adalah' stretch marks' yang terjadi di perut,payudara dan peha kerana lapisan kolagen pecah kerana 'over stretching'. Stretch marks yang pada mulanya berwarna purple/merah akan bertukar warna kepada silvery white selepas 6 bulan bersalin, Tanda -tanda ini adalah kekal. Rambut-rambut dikepala,muka dan badan menjadi tebal dan lebat dan selepas bersalin rambut-rambut itu tadi akan luruh. Kerap juga ibu menjadi panik kerana terdapat banyak rambut gugur.
Perubahan pada payudara
Perubahan pada payu dara adalah satu perubahan yang terawal terjadi jika seseorang itu hamil.Aliran darah pada payudara akan meningkat,saluran vena akan bertambah ketara dan payudara menjadi sensatif dan sakit. Hormon estrogen menyebabkan lemak di deposikant dalam payudara dan saiz akan bertambah.Hormon progestron akan membantu pertumbuhan dan perkembangan lobules dan alveoli untuk persediaan penyusuan kemudian hari. Hormon prolaktin akan membantu menghasilkan kolustrum dari semester kedua lagi dan hormon ini penting untuk memulakan penyusuan selepas bersalin.
Ini adalah sebahagian perubahan-perubahan yang berlaku semasa mengandong.Banyak lagi perubahan-perubahan lain yang panjang kalau diceritakan. Kesan kehamilan pada ibui adalah secara keseluruhan dan semua akan balik kepada normal selepas 6 minggu bersalin.Saya harap ini dapat menjelaskan apa-apa masalah yang timbulpada pringkat awal dan akhir kandongan.
Saya berusia 34 tahun sekarang. Telah mempunyai 3 orang anak. Saya telah bersalin ketiga-tiga anak secara pembedahan. Adakan selamat untuk saya mengandung kali ke-4 untuk menambah zuriat?
ReplyDelete